Catatan Seminar ANAK AKU TAK NORMAL KE?

Alhamdulillah pada 19 Jun yang lalu saya berkesempatan menyertai seminar keibubapaan online yang bertajuk Anak Aku Tak Normal Ke? Barisan panel ialah Dr. Rozanizam Zakaria (Pakar Psikiatri), Puan Adlil Rajiah (Penulis Keibubapaan), Puan Nurul Sherina (Occupational Therapist) dan Puan Siti Sarah (Speech Therapist) yang dihoskan oleh Puan Amie Sofia (Personaliti TV).

Oleh itu, suka untuk saya kongsikan beberapa perkara yang saya dapat manfaat daripada seminar ini. Saya akan kongsikan mengikut panel, justeru saya mencatat bahagian terpenting sahaja supaya entri ini tidak menjadi terlalu panjang.

Slot 1 : Dr. Rozanizam Zakaria

Tajuk : “Doktor, anak saya tak normal ke?”

Antara perkongsian penting daripada Dr. Rozanizam ialah, 5 asas penting perkembangan kanak-kanak:

  1. Persekitaran yang selamat
  2. Kasih sayang
  3. Galakan dan dorongan
  4. Peluang bermain
  5. Kesihatan fizikal

Kata beliau semasa seminar, 5 ini yang paling penting dalam perkembangan kanak-kanak bukan susu mahal atau kismis ajaib.

Beliau berpesan lagi, “selesaikan perkara asas ini dahulu sebelum mahu hantar anak ke kelas tuisyen Bahasa Arab, BM, BI, Matematik, kelas taekwondo dan sebagainya.”

Apa yang dapat disimpulkan daripada pesanan ini ialah pastikan kita berusaha memenuhi 5 perkara asas ini dahulu kepada anak-anak sebelum memberikan nilai tambahan lain kepada mereka.

Di akhir sesi Dr. Rozanizam memberikan mesej khas dalam situasi lockdown sekarang di mana anak “bersekolah” secara online iaitu ibu bapa perlu perbaiki “expectation” terhadap anak apabila perlu PdPR. Hal ini kerana, itu bukan fitrah anak-anak. Fitrah anak-anak bersekolah ialah duduk bersama kawan-kawan, bersemuka dengan guru. Dengan membaiki expectation ini dapat mengurangkan stress ibu bapa mengendalikan anak-anak ketika PdPR.

Slot 2 : Puan Adlil Rajiah

Tajuk : Anak Ketagih Skrin

Puan Adlil Rajiah berkongsi pengalaman peribadi mengendalikan anaknya sendiri yang menghidapi ketagihan skrin pada 2012. Dan bermula saat itulah, dengan pegangan tidak mahu ada satu ibu bapa pun yang membuat kesilapan yang sama, beliau mula bergiat aktif bersuara tentang keburukan pendedahan skrin melampau kepada kanak-kanak.

Nasihat daripada orang yang menyesal selalunya jujur dan ikhlas.

Beliau juga berkongsi satu mesej bermakna iaitu memberi anak pendedahan skrin terlalu awal secara berlebihan dan bersendirian ibarat memberi anak itu memandu kereta sendiri yang akan menyebabkan mereka terbunuh dengan sendirinya.

Sempat beliau mengingatkan peserta, apabila kita sudah menjadi ibu bapa, anak adalah tanggungjawab utama. Walau macam mana bagus pengasuh anak, taska anak, sekolah anak, susu anak, tiada satu pun yang dapat menggugurkan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa kepada anak itu.

Slot 3 : Puan Nurul Sherina

Tajuk : Perkembangan Sensori – Penting Ke?

Puan Nurul Sherina sebagai Occupational Therapist berkongsi tentang 8 sensori input yang sepatutnya perlu diberi setiap hari kepada anak-anak terutama anak berumur 7 tahun ke bawah iaitu, visual, proprioception, vestibular, interoception, gustotary, olfactory, tactile, & auditory. Tiga sensori yang paling asas ialah proprioception, vestibular, & tactile.

Proprioception ialah deria rasa sendi. Contoh aktiviti ialah jump and crash.

Vestibular ialah deria rasa keseimbangan. Contoh aktiviti ialah main bola.

Tactile ialah deria rasa sentuhan. Contoh aktiviti ialah bermain tanah, pasir dll.

Puan Nurul Sherina memberikan tips kepada ibu bapa yang alergi dengan rumah bersepah iaitu wujudkan ruang khas bermain untuk anak-anak di rumah dan tetapkan sempadannya. Secara tak langsung, ia membentuk anak untuk berdisiplin.

Di akhir sesi, beliau melegakan kerisauan ibu bapa terhadap perkembangan anak-anak mereka dengan sebaris ayat, “there’s no need to rush and trust the process”.

Slot 4 : Puan Siti Sarah

Tajuk : Anak Lambat Cakap

Puan Siti Sarah sebagai Speech Therapist berkongsi tentang perkembangan bahasa anak yang perlu ibu bapa ketahui. Antaranya ialah:

  • anak perlu mula babbling pada umur 6 bulan
  • anak menggunakan gesture untuk berkomunikasi pada umur 8 – 13 bulan seperti hulur tangan untuk nak dukung, geleng kepala apabila taknak sesuatu
  • anak mesti mengeluarkan perkataan pertama pada umur 1 – 1.5 tahun dan mempunyai sekurang-kurangnya 20 perkataan bermakna
  • anak mula menggabungkan idea pada umur 1.5 – 2 tahun dan mempunyai sekurang-kurangnya 50 perkataan bermakna
  • anak boleh bina ayat asas dengan dua perkataan seperti nak susu, kakak jatuh pada umur 2 – 3 tahun, mempunyai 50 – 100 perkataan bermakna, dan mula bertanya

Faktor terpenting yang mempengaruhi perkembangan bahasa anak ialah persekitaran. Beliau menyarankan untuk ibu bapa sentiasa bercakap dengan anak sejak anak lahir. Di akhir sesi, beliau mengingatkan ibu bapa, semakin cepat kita bantu anak, semakin cepat anak dapat belajar. Beliau juga meniupkan harapan, walaupun kita terlewat baiki anak, kita sentiasa ada peluang.

Itulah antara catatan saya semasa seminar tersebut. Semoga bermanfaat!

Sekiranya anda berasa,

ada bahagian daripada entri ini yang anda teringin untuk tahu dengan lebih dalam,

ada bahagian daripada entri ini yang menimbulkan persoalan demi persoalan,

mahu tahu ilmu2 ini untuk diaplikasikan dengan anak-anak.

Itu merupakan signal yang anda perlu menyertai seminar Anak Aku Tak Normal Ke? 2.0. Kupasan yang lebih mendalam dan sudah tentu lebih menarik!

Saya sudah sertai. Jumpa di sana.

Daftar Seminar Anak Aku Tak Normal Ke? 2.0 di sini.

[LIVE] Seminar Anak Aku Tak Normal Ke? 2.0 : Early Bird Price RM87!

nmustikadriena
nmustikadriena
Articles: 2